Depression

Diuji Lagi

Hai, aku mengambil masa yang lama untuk memberanikan diri menulis di dalam ruangan ini. Hari ini aku diberi kekuatan untuk berkongsi rasa.

Aku diuji sejak lahir. Ditinggallkan ibubapa di dalam buaian. Mujur ada datuk dan nenek menjaga aku sehingga aku berjaya mengenggam ijazah dan berpeluang berkhidmat di dalam bidang kesihatan. Alhamdulillah, aku gembira dengan tugas aku membantu mereka yang sakit kritikal.

Aku mengalami banyak fasa trauma sepanjang hidup, namun aku mampu menangani dengan agak baik walaupun sejak kecil air mata menjadi peneman diri. Aku banyak kali di sakiti secara mental dan fizikal hingga menyebabkan aku terfikir, kenapa aku dilahirkan dan sekecil darjah 6 aku terfikir untuk mati. Hanya kata-kata semangat yang terbit dalam diri menjadi peniup semangat untuk aku berjaya di dalam akademik.

Setelah sekian lama aku mengharungi semua ini seorang diri, akhirnya aku terpaksa mendapatkan rawatan secara professional dari Pakar Psikiatri dan Klinikal Psikologist apabila aku gagal mengawal emosi akibat kehilangan datuk yang aku sangat sayangi. Hampir setahun aku bergelut dengan perasaan hiba, aku mengalami semua simptom kemurungan namun aku nafikan. Sehingga satu hari, berlaku konflik di tempat aku bertugas dan aku gagal mengawal emosi sehingga aku menangis selama hampir satu jam di hadapan Pegawai Perubatan yang merawat aku. Beliau memujuk aku untuk berjumpa Pakar Psikiatri tetapi aku menolak. Setelah 3 kali beliau memujuk, akhirnya aku bersetuju.

Maka, secara ‘official’ Ogos 2017 aku di sahkan mengalami masalah kesihatan mental iaitu Persistent Depression Disorder. Ya Allah, sedihnya aku saat itu tidak mampu aku ucapkan. Aku mendiamkan diri dan tidak sesiapapun tahu apa yang aku alami.

Sebelum aku menerima rawatan dari hospital, aku mendapatkan bantuan dari Klinikal Psikologist kerana aku merasakan otak aku sudah terlalu tepu. Aku menjalani sesi terapi sejak Julai 2017 sehingga kini. Ya, aku membayar dengan duit poketku sendiri kerana bagi aku apalah erti kesihatan jika kesihatan mental tidak dapat diurus dengan baik. Aku sanggup membelanjakan wang demi kesejahteraan mental aku.

Selama 6 bulan aku mengambil ubat anti-depresi juga ubat tidur. Dan sebanyak 3 kali aku bertukar ubat. Seksanya mengambil ubat-ubatan Psikiatri, Tuhan sahaja tahu. Pelbagai kesan sampingan dan yang sangat kritikal apabila keinginan untuk bunuh diri menjadi semakin kuat.

Psikoterapi menjadi penyelamat dari keinginan untuk mencederakan diri. Psikoterapi membawa aku keluar dari dunia kegelapan dan sejak dari itu aku mula nampak cahaya di hujung jalan yang gelap. Sejujurnya, aku sangat benci dan tidak selesa pada awal-awal sesi tetapi Psikologist yang membantu aku sangat bersabar dan memahami situasi yang aku alami. Aku terlalu trauma hingga aku tidak mampu untuk menerangkan apa jua perasaan yang terbuku dalam minda aku. Akhirnya pada satu sesi, yang mana tarikh sesi terapi jatuh pada hari yang sama dengan datuk aku meninggal, aku menangis teresak-esak semasa di dalam sesi terapi.

Sejak dari hari itu, untuk sesi terapi seterusnya aku sudah mampu untuk berkata-kata. Kata Psikologist yang merawatku, aku ada perkembangan yang positif dan aku bersetuju dengan kata-kata beliau. Aku juga sudah merasakan fikiran aku agak lapang dan mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik dan bermakna. Aku sungguh bersyukur.

Namun, aku diuji sekali lagi. Keputusan Pakar Psikiatri merujuk aku ke bahagian Klinik Ortopedik mengheret aku ke fasa kesedihan. Aku tergamam selepas keputusan MRI tulang Cervical dilakukan. Ada sesuatu abnormaliti di bahagian Cerebellum dan juga di dalam dalam tulang belakang. Aku takut sehingga aku segera mendapatkan nasihat dari Pakar Neurosurgeri.

Beliau mengatakan aku perlu menjalani pembedahan tetapi aku perlu melakukan imbasan MRI Brain dan Spine untuk melihat dengan teliti permasalah aku. Beliau mengesyaki aku mengalami satu keadaan Congenital Abnormality, aku hampir-hampir ingin menitiskan air mata.

Aku dilanda ketakutan, kebimbangan dan kerisauan yang melampau lalu aku menghubungi Psikologist. Aku menangis semasa sesi terapi dijalankan. Ya, aku sangat takut dengan pembedahan kerana aku mengalami banyak pengalaman pahit semasa menjalani pembedahan lalu.

Kini, aku menunggu laporan penuh MRI. Temujanji aku bersama Pakar Neurosurgeri jatuh pada hari yang sama temunjanji rawatan susulan bersama Pakar Psikiatri, pagi di Klinik Psikiatri, petang di Klinik Neurosurgeri dan kedua-dua klinik adalah di hospital yang berbeza.

Aku kini mengumpul sedikit demi sedikit kekuatan untuk menghadapi apa jua diagnosis yang akan diberikan Pakar Neurosurgeri. Aku juga sudah membuat temujanji bersama Psikologist sebaik sahaja aku mendapat diagnosis penuh. Beliau akan membantu aku menghadapi apa jua treatment plan yang akan dicadangkan oleh Pakar Neurosurgeri. Apa juga yang akan berlaku, aku akan cuba bertenang.

Guys, doakan aku untuk sekali lagi kuat menghadapi ujian hidup ini.

– Me –

Hantar kisah “perjuangan dalam senyap” anda di sini

Komentar FB

Komen

%d bloggers like this: